Rasulullah yang diutus oleh Allah ke pangkuan umat manusia sejagat, sememangnya dianugerahkan oleh Allah SWT dengan pelbagai peradaban yang cukup tinggi, nilai-nilai kemanusiaan yang tidak dimiliki oleh para pemimpin di dunia, malah Allah mengarahkan agar tubuh bvadan baginda serta apa yang terbit daripadanya adalah contoh teladan bagi keselamatan dunia dan akhirat.
Dari perkara yang besar hinggalah ke sekecil-kecilnya, terdapat hikmah dan pengajaran serta disaluti pendidikan untuk memimpin manusia mendapatkan kehidupan terbaik, justeru, Rasulullah s.a.w mahukan umatnya lakukan yang terbaik buat diri mereka, antara yang ditinggalkan kepada umat manusia sebagai satu pusaka ialah adab ketika hendak tidur.
Sehubungan ini, Rasulullah ada menegaskan menerusi hadisnya yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada al-Barra’ daripada ‘Azib, baginda bersabda : Jika anda bersedia untuk ke tempat tidur, berwuduklah terlebih dahulu, kemudian baring di atas lambung sebelah kanan. Hadis Sohih.
Faedah tidur dengan lambung kanan.
Menurut Imam Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqolani ketika mentafsirkan hadis di atas, terdapat beberapa faedah ketika tidur dengan lambung kanan, antara lain :
· Ia menjadikan orang yang lakukannya segera sedar untuk bangkit dari tidur.
· Menjadikan hati orang tidur dengan lambung kanan sentiasa rasa bertanggungjawab untuk bangkit awal serta melakukan solat sunat ketika ramai orang sedang nyenyak tidur.
· Nasihat para doktor, cara demikian adalah terbaik bagi mengekalkan kesihatan.
· Memudahkan penghadaman dan mencernakan kesihatan tubuh badan.
· Sebaliknya, tidur dengan lambung kiri mengakibatkan gangguan jantung dan menyukarkan pencernaan usus.
Tempat dan cara tidur Nabi s.a.w.
Baginda s.a.w seperti yang diceritakan oleh segelintir sahabatnya, ada masanya baginda tidur di atas tilam, kadang-kadang di atas tikar, pengelas kain hitam, atas lantai dan katil yang beralaskan pasir, kadang-kadang berselimut dan adakalanya baginda tidur dengan bersimpuh kaki.
Bacaan Nabi sebelum tidur.
· Alllahumma Bismika Ahya wa Amut, maksudnya : Ya Allah, dengan nama-Mu aku hidup dan aku mati.
· Baginda menadah kedua belah tangan untuk berdoa sambil menghembus pada kedua-duanya dengan membaca tiga Qul, kemudian baginda menyapu seluruh tubuhnya bermula dari atas kepala, depan dan belakang tubuh sebanyak tiga kali.
· Baginda tidur atas lambung kanan dengan meletakkan tapak tangannya di pipi kanan sambil membaca : Allahumma Qini ‘Azabaka Yauma Tab`athu iba~daka. Maksudnya : Ya Allah, peliharalah aku dari azab-Mu pada hari Engkau bangkitkan hamba-hamba-Mu.
· Alhamdulillahillazi At`amana wa Saqana wa Kafa~na wa a~wa~na fakammimman La Kafi lahu wala Mu’wi. Maksudnya : segala puji bagi Allah yang memberi makan, minum, mencukupkan kami serta memelihara kami (dari segala merbahaya) di kala tiada yang mencukupkan dam memelihara.
· Bagimda s.a.w juga ada membaca doa sebelum tidur seperti yang dicatatkan oleh Imam Muslim : Allahumma Rabbus Sama~wa~ti wal-Ard, wa rabbul ‘Arsyil ‘Azim, Rabbana wa Arbbu kulli syaiin, Fa~liqul Habbi wan nawa, Munzilut Taura~ti wal Inji~li wal Furqan~, A~uzubika min Syarri kulli zi Syarrin, Anta Akhizun Bina~siyatiha, Antal Awwalu, falaisa qablaka syai’, wa Antal Akhiru falaisa ba’daka syai, wa Antaz Zohiru falaisa fauqaka syai, wa Antal Ba~tinu falaisa du~naka syai, Aqdi ‘Annad dain wa Aghnina minal faqr. Maksudnya : Ya Allah, Tuhan langit dan bumi, Tuhan ‘Arsy yang agung, Tuhan kita dan Tuhan segala sesuatu, Dialah Tuhan yang menumbuhkan butir tumbuh-tumbuhan dan biji buah-buahan, Tuhan yang menurunkan kitan Taurat, Injil dan al-Furqan (al-Quran) aku berlindung kepada-Mu dari segala kejahantan yang memang jahat, Engkaulah yang memegang ubun-ubunnya, Engkaulah Yang Awal tiada sesuatu yang terdahulu sebelum-Mu, Engkaulah Yang Akhir tiada sesuatu yang terkemudian selepas-Mu, Engkaulah Yang Zahir tiada sesuatu di atas-Mu, Engkaulah yang Batin tiada sesuatu selain-Mu, Lunaskanlah hutang kami dan kayakanlah kami dari kefaqiran.
· Setelah baginda terjaga dari tidur, terus membaca doa ini : Alhamdulillahillazi Ahya~na ba’da ma Amatana~ wa ilaihin Nusyur. Maksudnya : Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami semula setelah mematikann (tidur) kami dan kepada-Nya kami kembali.
· Nabi bersiwak terlebih dahulu sebelum tidur dan membaca sepuluh ayat terakhir dari surah ~Ali `Imran iaitu dari ayat 190-200, kemudian baginda membaca : Allahumma Lakal Hamd, Anta Nu~rus Sama~wa~ti wal Ard waman Fi~hin, wa Lakal Hamdu Anta Qaiyimus Sama~wa~ti wal Ard waman Fihin, wa Lakal Hamdu Antal Haqqu, wa wa’dukal Haqqu, wa Liqouka Haqqun, wa Jannatu Haqqun, wa Na~ru Haqqun, wan Nabiyyu~na Haqqun, was Sa~`atu Haqqun, Allahumma Aslamtu wabika A~mantu, wa`alaika Tawakkaltu, wa Ilaika Anabtu, wabika Khosomtu, wa Ilaika Ha~kamtu, Faghfirli ma~ Qaddamtu wama Akakhartu wama Asrartu wama A’lantu, Anta ila~hi la Ila~ha illa Anta. (riwayat Imam al-Bukhari)
Maksudnya : Ya Allah, bagi-Mu segala kepujian, Engkaulah Cahaya tujuh petala langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya, bagi-Mu segala kepujian, Engkaulah Pengukuh tujuh petala langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya, bagi-Mu sagala kepujian, Engkaulah Maha Benar, Janji-Mu juga Benar, pertemuan dengan-Mu adalah benar, Syurga-Mu adalah benar, Neraka-Mu adalah benar, Para Nabi adalah benar, nabi Muhammad Ya Allah, adalah benar, Hari Qiamat itu benar, Ya Allah, kepada-Mu aku berserah diri, aku beriman dengan-Mu, aku bertawakkal kepada-Mu, Engkalah tempat aku mengadu, aku berselisih kerana-Mu, aku berhukum hanya dengan undang-undang-Mu, maka Ampunilah apa yang pernah aku lakukan dan terkemudian, apa yang aku rahsiakannya dan apa yang aku nyatakan, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan melainkan Engkau.
Waktu Baginda masuk tidur
Diriwayatkan bahawa baginda s.a.w tidur pada awal waktu dan bangkit di penghujung waktu malam, baginda tidur dengan memejamkan matanya tetapi hatinya tetap berjaga, sering kali baginda mengejutkan ahli keluarganya untuk bangkit waktu malam, baginda tetap berusaha untuk tidur sekurang-kurangnya lapan jam dalam sehari semalam.
No comments:
Post a Comment