Tuesday, April 27, 2010

K O R E K S I D I R I

25 soalan untuk tanya diri

Tatkala hendak melelapkan mata di malam hari, tanyalah diri :

1. Pernahkah kita rasa indah dapat bersendirian di tempat sunyi kerana mengingati Allah dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada-Nya?

2. Pernahkah kita menghitung dosa-dosa lahir dan batin sambil menangis kerana ‘istighfar’ kita terlalu sedikit dibandingkan dengan dosakita yang menyebabkan kita nanti jadi bahan bakar api Neraka?

3. Selalukah kita sentiasa ingat pada mati yang boleh mendatangi kita sebentar lagi kerana memang boleh Tuhan berbuat begitu, cuma kalau tidak dimatikan itu kerana Tuhan mahu kita berusaha lagi untuk mencari jalan mendekatkan diri pada-Nya?

4. Pernahkah kita menghitung berapa banyak harata, duit, rumah, kereta, perabot, pakaian, makanan dan lain-lain kepunyaan kita yang disimpan lebih dari keperluan kita. Sedangkan perkara itu, walaupun halal, tetap akan ditanya dan dihisab oleh Allah di Akhirat kelak.

5. Pernahkah kita menungkan orang-orang yang pernah kita kasari, umpati, fitnah, hinakan dan aniaya? Apakah kita telah meminta maaf kepada mereka yang terlibat?

6. Ketika bersembahyang, apakah hati kita dapat khusuyuk, twadhuk, rasa hinadiri sepanjang ibadah sembahyang yang kita lakukan itu? Atau hati kita waktu itu menerawang ke merata-rata tempat dengan membelakangkan Allah yang sedang disembah?

7. Kalau ada orang sakit, ditimpa kesusahan, menderita kemiskinan, adakah hati rasa belas kasihan untuk membantu atau tolong doakan agar dia akan selamat?

8. Apabila Allah merasakan sakit kepada kita atau kepada orang yang kita kasihi, dapatkah kita tenangkan hati kita dengan rasa sabar dan sedar bahawa sakit itu adalah kifarah (penebus) dosa kita?

9. Ketika menerima taqdir atau rezeki yang tidak sesuai dengan kehendak kita, dapatkah kita redha dan merasakan bahawa ia sebagai satu pemberian Allah yang patut untuk kita?

10. Di waktu apa-apa yang kita ingini dan cita-citakan tidak kita perolehi, dapatkah kita tenangkan perasaan kita dengan rasa insaf akan kelemahan dan kekurangan diri sebagai hamba Allah yang hina dihina yang menggantungkan hidup mati dan rezeki sepenuhnya kepada Allah?

11. Di waktu mendapat nikmat, terasakah dihati ianya sebagai pemberian Allah lalu timbul rasa terima kasih (syukur) pada Allah SWT dan rasa takut kalau-kalau ia tidak digunakan kerana Allah?

12. Kalau kita miskin dapatka kita rasa bahagia dengan kemiskinan dan berlapang dada hingga tidak mahu mengadu-ngadu dan meminta pada manusia kecuali Allah?

13. Kalau ada orang mencerca kita bolehkah hati kita merasa senang dan tenang lalu kita diamkan sahaja (tanpa sakit hati dan berdendam) bahkan memaafkannya sambil mendoakan kebaikan untuknya.

14. Kalau ada orang yang menipu, menganiaya dan mencuri harta kita, mampukah kita relakannya atas dasar kita mendapat pahala kerana menanggung kerugian itu?

15. Di waktu kita rasa bersalah dengan seseorang, datangkah rasa takutkan kemurkaan Allah pada kita dan sanggupkah kita minta maaf sambil mengaku kesalahan kita?

16. Selepas kita melakukan usaha dan ikhtiar atas kerja-kerja kita adakah dapat kita lupakan usaha kita kerana menyerahkan pada Allah atau kita rasa besar dan terpaut dengan usaha kita itu hingga kita rasa senang dan tenang dengan usaha kita?

17. Kalau orang lain dapat kesenangan dan kejayaan dapatkah kita rasa gembira dan turut bersyukur dan harapkan kekalnya nikmat itu bersamanya tanpa hasad dengki atau sakit hati?

18. Setiap kali orang bersalah, lahirkah rasa kasihan kita padanya, disamping ingin membetulkannya tanpa menghina dan mengumpat?

19. Kalau ada orang memuji kita, adakah kita akan rasa susah hati sebab itu boleh merosakkan amalan kita dan dapat kita bendung hati dari rasa bangga dan sombong, kemudian mengembalikan pujian pada Allah yang patut menerima pujian dan yang mengurniakan kemuliaan itu?

20. Bolehkah kita menunjukkan rasa kasih sayang dan ramah mesra dengan semua orang sekalipun orang bawahan kita?

21. Selamatkah kita dari prasangka dan jahat sangka pada orang lain?

22. Kalau diturunkan pangkat dan jawatan atau kekayaan kita hilang, selamtkah hati kita dari rasa kecewa dan putus asa? Bahkan meredhainya kerana ia adalah ketentuan dari Allah.

23. Sanggupkah kita bertolak ansur dengan orang lain di waktu orang itu memerlukan apa juga yang kita perlukan?

24. Apakah kita sentiasa puas dan merasa cukup dengan apa yang ada tanpa mengharapkan apa yang tidak ada?

25. Apakah hati kita sentiasa bimbang dengan amal ibadah yang telah dilakukan dan sentiasa berusaha untuk memperbaikinya dari semasa ke semasa?

No comments:

Post a Comment