Friday, April 23, 2010

Cinta Dalam Islam

Assalamualaikum


Cinta Di dalam Islam

Lelaki dan perempuan memang diberikan nafsu oleh Allah.Jika seorang lelaki melihat seorang perempuan, lazimnya ia diiringi kecenderungan ke arah seks. Atas sebab itulah Islam memperkenalkan konsep aurat, menundukkan pandangan, melarang wanita berhias secara keterlaluan kerana ia boleh menarik nafsu lelaki kepada perempuan.

Oleh itu, jika ada lelaki yang mengatakan bahawa dia berkawan dengan seseorang perempuan tanpa perasaan cinta, yang sebenarnya ia adalah kes yang jarang dan tidak termasuk dalam kes-kes biasa. Walaupun hubungan persahabatan ini lazimnya didakwa terjalin bukan atas dasar cinta atau seks, namun ia masih tertakluk kepada hukum yang sama, iaitu lelaki dan perempuan tidak boleh mempunyai hubungan yang akrab atau dengan kata lain bergaul bebas tanpa batasan. Kerana itu ada hadis menyebut,

Dari 'Amir bin Rabiah,Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

"Janganlah sesekali seorang lelaki menyendiri dengan perempuan yang tidak halal baginya, kerana yang ketiganya adalah syaitan, kecuali kalau ada mahramnya." (Riwayat Ahmad)

Yang sebenarnya tidak salah bercinta, tetapi cinta itu mestilah didasarkan di atas perjalanan syariat. Kita boleh lihat kebanyakan muda mudi hari ini, sebelum mendirikan rumahtangga akan bersumpah setia yang disaksikan oleh bulan dan bintang untuk sehidup semati atau pun kasih tidak akan bertukar ganti. Betulkah cara tersebut boleh dikategorikan sebagai sebuah cinta suci yang patut wujud di dalam rumahtangga Islam.

Cinta suci di dalam istilah ialah cinta lelaki tidak boleh berbelah bagi kepada wanita yang dicintainya dan begitu juga sebaliknya. Rasa-rasanya bentuk cinta yang sedemikan adalah hipokrit. Wujud atas dasar kasih tidak mahu dibelah bagi.

Kemungkinan jua cara kita menilai cinta banyak dipengaruhi filem-filem Hindustan yang begitu popular masa kini. Atau pun kita menilai cinta banyak dipengaruhi oleh kisah cinta Romeo dan Juliet yang sanggup mati bersama. Agaknya inilah bentuk cinta yang tinggi nilainya. Sekiranya begini cara setiap pasangan berfikir, pasti mereka tidak akan menemui kebahagiaan. Kerana pengalaman telah membuktikan banyak rumahtangga yang gagal dibina di atas bentuk ini.

Bila didapati pasangan melakukan kesilapan atau punya kelemahan, hati semakin hancur dan timbul tindakan yang tidak tentu arah. Tidak hairanlah jikalau wujud risiko yang sebegitu rupa kerana cinta diletakkan pada hamba yang lemah, bukan pada Allah yang Maha Esa.

Di dalam Islam, cinta yang sejati itu adalah cinta yang diserahkan kepada Allah s.w.t dan lelaki atau suami hanyalah jalan untuk isteri memperolehi redha Allah. Cinta suci hanya lahir daripada iman dan taqwa. Hati orang yang bertaqwa adalah untuk Allah dan RasulNya. Hati yang demikian akan melihat akhirat lebih utama daripada dunia. Maka orang yang sedemikian akan mengorbankan dunianya untuk akhirat.

Ditegaskan oleh suatu hadis bahawa orang lelaki jika ada kemampuan, digesa supaya cepat berkahwin. Ini dinyatakan hadis yang diriwayatkan oleh Jama'ah dan Ibnu Mas'ud, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Wahai pemuda! Jika di antara kamu ada yang mampu kahwin hendaklah ia berkahwin, kerana nanti matanya akan lebih terjaga dan kemaluannya akan lebih terpelihara. Dan apabila ia belum mampu kahwin. Hendaklah ia berpuasa, kerana puasa itu ibarat pengebiri (penahan)."

Mengapa mereka disuruh berkahwin? Kerana dalam al-Quran juga Allah menyebut, manusia secara normal memang Allah jadikan ada nafsu seks terhadap wanita. Fitrahnya memang begitu. Jadi bagaimana kita ingin menafikan hakikat tersebut?" Firman Allah surah An Nur: 30 yang bermaksud,

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka."

Sementara ayat dari surah An-Nur: 31, seterusnya menegaskan,

"Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dan orang-orang lelaki yang telah tua dan tiada keinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat wanita dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka."

Bagi para remaja, adalah terlalu bahaya bergaul bebas sesama sendiri antara lelaki dan wanita. Walaupun mereka mengatakan mereka tidak bercinta tetapi mereka juga tertakluk kepada hukum. Seperti seorang perempuan mendakwa, 'Orang perempuan memakai tudung kerana dia cantik ingin menutup kecantikannya'. Walau apa pun alasannya,dia tetap termasuk dalam undang-undang kena menutup aurat.

Kemungkinan-kemungkinan hubungan ini akan menjadi sebab fitnah dan menghampiri zina, tidak dinafikan. Muqaddimah zina adalah hubungan akrab antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram. Walaupun pada dasarnya ia tidak mempunyai kecenderungan seks tetapi ia boleh menimbulkan fitnah apabila ada hubungan antara lelaki dan perempuan.

Apatah lagi nafsu memang tidak bermata, tidak kenal sifat, usia atau apa pun.

Walaupun kerap dinyatakan di mulut, bahawa hubungan itu tidak ada kecenderungan seks, tetapi Allah lebih mengetahui, bahawa dalam hati manusia memang ada kecenderungan seperti itu.

Walau bagaimanapun, Islam tidaklah begitu keras sehingga menghalang lelaki dan perempuan daripada bersahabat. "Tidak salah menjadi kawan baik tetapi ada batasannya. Pertama, dari segi aurat harus dijaga. Selain itu, percakapan juga harus dipelihara agar perbualan tidak menjurus ke arah seks.Komunikasi dianggap penting, sebab itu Islam mengingatkan wanita agar merendahkan suara ketika bercakap kerana bimbang perkara sebegini akan terjadi. Juga elakkan jangan sampai ada sentuhan fizikal. Serapat mana pun hubungan tersebut dengan beranggapan lelaki atau perempuan sebagai saudara angkat atau sahabat karib, Islam masih meletakkan batas bahawa mereka tidak boleh bersentuh kulit dan sebagainya tanpa keadaan darurat tertentu.

Wallahu A'lam...

*** Lelaki Yang Baik Untuk Wanita Yang Baik ***

Setiap manusia menginginkan pasangan yang baik dalam kehidupan ini. Justeru itulah, fenomena dalam masyarakat kita memperlihatkan kebanyakan wanita atau lelaki baik akan berumahtangga dengan pasangan yang baik juga dalam kehidupan mereka.

Perkahwinan antara wanita atau lelaki baik dengan pasangan baik dikira sebagai sesuatu yang wajar dan amat bertepatan dengan keadaan kerana seseorang yang baik sudah sepatutnya berpasangan dengan yang baik juga. Jika diQiaskan kepada rupa, ia boleh diibaratkan sebagai "pertemuan bagai pinang yang dibelah dua." Di dalam al-Quran, Surah an-Nur; ayat 26; Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

"Perempuan-perempuan jahat untuk laki-laki jahat,laki-laki Jahat untuk perempuan-perempuan jahat pula, perempuan-perempuan baik untuk laki-laki baik, laki-laki baik untuk perempuan-perempuan baik pula. Mereka itu (orang-orang baik) terlepas dan tuduhan yang mereka katakan, untuk mereka ampunan dan rezeki yang mulia."

Bagaimanapun, fenomena dalam masyarakat kita juga memperlihatkan, sesetengah manusia baik sama ada wanita atau lelaki tidak pula bertemu jodoh dengan pasangan yang baik. Disebabkan keadaan itu, rumahtangga mereka juga sering kelihatan tidak bahagia dan sesetengahnya turut musnah. Kenapa kejadian seperti itu berlaku? Sedangkan di dalam Surah an-Nur; ayat 26, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud,

"Wanita baik untuk lelaki baik dan lelaki baik untuk wanita baik."

Pada sesetengah pihak, ayat 26 dalam Surah an-Nur itu difahamkan sebagai janji Allah kepada setiap hambaNya yang akan menjodohkan seseorang yang baik dengan pasangan yang baik juga. Sedangkan pada dasar dan hakikatnya, malahan dalam sebarang keadaan, tempat dan masa, Allah s.w.t. tidak sekali-kali memungkiri janjiNya kepada setiap hambaNya.

Dengan kewujudan perkahwinan seseorang yang baik sama ada wanita atau lelaki dengan pasangan yang tidak baik, sesetengah pihak turut bertanya, apakah pula hikmah yang terselit di sebalik ketentuan Allah terhadap jodoh seseorang yang baik dengan yang tidak baik itu?

Yang sebenarnya ayat tersebut bukanlah menyentuh Qada dan Qadar Allah terhadap jodoh seseorang. Dengan kata lain, ia juga bukanlah merupakan janji Allah kepada manusia baik yang akan dijodohkan dengan pasangan yang baik. Sebaliknya, ayat berkenaan merupakan peringatan Allah kepada setiap hambaNya atau kepada umat Islam agar memilih manusia yang baik untuk dijadikan pasangan hidup masing-masing. Untuk memahami ayat tersebut dengan mendalam, setiap umat Islam perlu mengetahui sebab-sebab atau latar belakang penurunan ayat berkenaan oleh Allah s.w.t. Ayat itu sebenarnya diturunkan oleh Allah ekoran terdapat tuduhan atau fitnah terhadap isteri Rasulullah, Siti Aisyah yang kononnya melakukan perbuatan jahat dengan seorang lelaki.

Ekoran fitnah itu, ada umat Islam yang mempercayainya. Sedangkan yang sebenarnya, Siti Aisyah itu wanita yang amat baik dan amat suci yang tidak pernah melakukan perbuatan sedemikian, malahan tidak pernah sedikitpun pun terniat melakukannya. Disebabkan peristiwa itulah,Allah s.w.t. menurunkan ayat itu. Ia merupakan penjelasan Allah mengenai kedudukan sebenarnya mengenal fitnah itu yang tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

Selanjutnya setiap umat Islam juga perlu memahami dengan mendalam firman Allah dalam Surah an-Nur; ayat 3 yang bermaksud:

"Laki-laki berzina tiada berkahwin melainkan dengan perempuan berzina pula,atau perempuan musyrik.Perempuan berzina tiada berkahwin, melainkan dengan laki-laki berzina pula atau laki-laki musyrik. Yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang beriman."

Ayat tersebut tidak bermaksud lelaki yang berzina hanya mesti berkahwin dengan wanita yang berzina dan wanita yang berzina hanyalah boleh berkahwin dengan lelaki yang berzina sahaja. Jumhur ulama mengatakan, hukum ayat itu telah dimansukhkan oleh Allah s.w.t.Ia dimansukhkan oleh Allah dengan ayat 32-33 dalam Surah an-Nur juga yang bermaksud kahwinilah wanita di kalangan kamu, dengan terjemahan penuhnya yang bermaksud:

"Dan kahwinlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan hamba sahaya lelaki dan perempuan yang soleh. Kalau mereka miskin, nanti Allah akan memberikannya kekayaan dari kemurahanNya dan Allah itu luas pemberiannya dan Maha Tahu.Orang-orang yang tiada memperoleh belanja, hendaklah menjaga kehormatan (jangan berzina), sehingga Allah memampukan mereka dengan kurniaNya.Hamba-hambamu yang menuntut mukatabah (kemerdekaan dengan pembayaran wang), hendaklah kamu terima,jika kamu ketahui bahawa ada kebajikan pada mereka. Berikanlah kepada mereka harta Allah, yang diberikanNya kepadamu. Janganlah kamu paksa hamba-hambamu berzina, jika mereka menghendaki kesucian, supaya kamu mendapat harta benda waktu hidup di dunia. Barang siapa memaksa mereka, maka Allah sesudah paksaannya itu Pengampun lagi Penyayang.

Dengan pemansukhan itu bermakna ayat itu sudah tidak lagi menuntut umat Islam sama ada lelaki atau perempuan yang berzina hanya boleh berkahwin dengan yang berzina sahaja, tidak dengan yang baik.

Sebaliknya ia telah menjadi umum. Lelaki yang baik dibolehkan berkahwin dengan wanita yang berzina, perempuan yang berzina dibolehkan berkahwin dengan lelaki yang baik, perempuan yang baik dibolehkan berkahwin dengan lelaki yang berzina atau lelaki yang berzina juga boleh berkahwin dengan wanita yang baik.Jadi maknanya, jodoh pertemuan seseorang itu di tangan Allah, tetapi kita diminta berusaha memilih pasangan yang baik,yang soleh atau solehah. Kalau seseorang itu mendapat jodoh dengan pasangan yang kurang baik, pasangannya yang baik itu mestilah berusaha membaiki perangai pasangannya yang kurang baik itu,

Berhubung dengan perubahan perangai seseorang yang kurang baik menjadi baik apabila berkahwin dengan orang yang baik pula. Kalau seseorang yang kurang baik atau tidak baik sama ada lelaki atau wanita berkahwin dengan orang yang baik, tidak pula boleh dikatakan perangainya akan pasti berubah menjadi baik sejajar dengan kedudukan pasangannya sebagai orang yang baik. Tetapi pengaruh persekitaran dari orang yang baik mungkin mempengaruhi individu dari tidak baik kepada baik. Inilah kekuatan agama yang ada pada diri seseorang yang mampu untuk menarik pasangannya mentaati Allah dan RasulNya.

Dalam Islam, seseorang yang baik dengan menilai baik hubungannya dengan Allah dan hubungannya dengan manusia. Kalau orang yang baik itu ada kekuatan agama seperti yang dimaksudkan tadi diharuskan dia berkahwin dengan orang yang kurang baik itu, untuk tujuan menyelamatkan orang berkenaan sama ada lelaki atau perempuan dan terus hanyut dalam kesesatan atau kemaksiatan. Ini adalah dakwah.

Dalam Islam, kalau seseorang tu telah bertaubat, kita disuruh menerima orang yang sudah bertaubat itu. Kalau tidak, berdosa. Sebab dalam Islam, orang yang sudah bertaubat itu dikira sudah bersih. Tetapi terdapat juga kejadian di mana masyarakat tidak menerima orang yang telah bertaubat.

Inilah silapnya sesetengah anggota masyarakat kita. Orang yang sudah bertaubat pun dikatakan masih jahat juga. Banduan-banduan yang sudah keluar dan penjara yang sudah bertaubat itu sepatut diterima baik oleh masyarakat. Bohsia dan bohjan, penagih dadah dan sesiapa sahaja yang bersalah dan kemudian yang sudah bertaubat sepatutnya kita terima mereka dan didik mereka ke arah Islam.Tetapi sesetengah anggota masyarakat kita tidak juga mahu menerimanya. Akibatnya, ia mendatangkan kesan buruk pula kepada orang berkenaan dan kepada masyarakat. Firman Allah Ta'ala yang bermaksud :

"Dan orang-orang yang apabila berbuat kejahatan atau menganiaya dirinya, (kemudian) mereka ingat akan Allah, lalu mereka meminta ampun atas dosanya. Dan tiadalah yang mengampunkan kecuali Allah. Mereka tiada berkekalan di atas dosanya itu sedang mereka mengetahui."
( Ali Imran : 135 )

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertaubat dan mengasihi orang yang mensucikan dirinya." ( Al BaQarah : 222 )

Wallahu A'lam...

No comments:

Post a Comment