Wednesday, July 14, 2010

Bab 7 Menahan Marah

Dalam pergaulan seharian, kita sebagai manusia biasa tidak dapat lari dari keterlanjuran dalam percakapan, perbuatan atau tingkah laku yang boleh membangkitkan perasaan marah terhadap orang lain. Oleh yang demikian sebagai Muslim asas pergaulan mesti wujud dengan berlandaskan kesabaran. Ketika ini menahan diri dari marah dan memberi kemaafan pada orang mesti diamalkan sepertimana firman Allah:

‘Dan orang-orang yang sabar menahan diri dari marah serta orang yang memberi kemaafan terhadap orang lain. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang suka membuat kebaikan.’
(Surah Ali Imran: 134)

Menahan kemarahan atau sabar adalah sesuatu yang penting dalam hidup, kerana marah sangat bahaya dalam kehidupan seseorang. Sebab itulah Allah menjanjikan ganjaran yang sangat besar kepada sesiapa yang dapat menahan dari kemarahan. Sabda Rasulullah s.a.w.:

‘Sesiapa yang dapat menahan dari kemarahan dan dia boleh menghilangkannya, di hari kiamat kelak Allah memberi keutamaan dari makhluk-makhluk lain untuk dia memilih mana-mana pintu syurga yang dia mahu.’
(Riwayat At-Tarmizi)

Jelas dari hadis di atas bahawa orang yang dapat menahan dirinya dari mengikut nafsu marah dengan melenyapkan segala rasa dendam dari setiap peristiwa yang berlaku akan mendapat balasan di akhirat kelak, iaitu Allah anugerahkarmya dengan satu kelebihan untuk memilih syurga serta diberi keutamaan sama seperti orang-orang yang mati syahid. (Rujuk Al-Mubarakfuri. 1965, hlm. 166)

PUNCA MARAH DAN TINDAKANNYA

Al-Raghib menghuraikan perkataan Al-Ghaiz sebagai bersangatan marah, iaitu ledakan panas secara pantas yang terdapat dalam diri manusia. Ini adalah hasil dari tindakan marah dalam hati seseorang bilamana mendengar sesuatu yang menyentuh hal peribadi atau keluarganya. (Rujuk 'Ali Al-Mugni al-Fayumi. T. Tarikh. hlm. 459-460)

Bagi pendapat Imam Muhd. 'Abduh pula menjelaskan Al-Ghaiz iaitu peraaan marah merupakan penyakit yang terkena pada jiwa manusia apabila didapati kurang mendapat perhatian atau habuan dari hak yang sepatutnya didapati, seperti harta benda, pangkat dan kemuliaan. Penyakit marah ini lambat untuk sembuh serta akan melarat kepada penyakit dendam yang amat sangat dan ia seringkali membawa keinginan untuk membalas. (Rujuk Muhd. Rasyid Redha. Cetakan Ke 2. T.Tarikh. hlm.134). Mengikut Zarnahsyari, pengertian Al-Kazim atau Al-Kazmu ialah simpan dalam hati, tidak dapat dilihat dengan mata kasar terhadap tingkahlaku atau perangainya serta tidak nampak kesan pada seseorang. Lama-kelamaan ia akan hilang. (Rujuk Al-Zarnahsyari. 1987. hlm. 45)

Berdasarkan firman Allah dan hadis Rasulullah, ialah bertindak menahan diri dari marah atau dengan kata lain bertindak jangan mengikut perasaan marah serta awasi dengan penuh kesabaran. Oleh itu sepatutnya bagi setiap jiwa yang sabar mesti menjauhkan diri dari marah. Janganlah melaksanakan sesuatu perbuatan berdasarkan marah kerana ia akan menyakiti orang lain dengan perbuatan dan cakapan. Sebab itulah Rasulullah menjawab kepada pertanyaan sahabat dengan persoalan yang berbunyi:

"Wahai Rasulullah! Tunjukkan aku satu amalan yang boleh memasukkan aku ke dalam syurga?" Jawab Rasulullah, "Jangan kamu marah, balasan bagimu adalah syurga".
(Riwayat Al-Thibrani Melalui Sanad Sahih)

MENGELAK DARI KEMARAHAN

Tabiat manusia suka berdepan dengan keburukan orang lain. Kadangkala tabiat itu membawa kepada dengki dan dendam. Segala cetusan ini adalah hasutan syaitan kerana ada waktu itu manusia sudah hilang pertimbangan lantas mereka mula bertindak di luar pemikiran yang wajar. Untuk mengelak persoalan tersebut setiap insan perlu mengawasi diri mereka supaya jangan mengikut perasaan, atau jangan menyahut seruan dan panggilan orang yang sedang marah. Seandainya kita bedaya mengawasi dan menahan keadaan demikian, maka itulah sifat orang yang bertakwa dan befirman kepada Allah. (Rujuk 'Abdul Hakim Assaid' Adam, 1984. hlm. 34) Firman Allah:

‘Dan orang orang yang menahan dari kemarahan serta memberi kemaafan pada orang lain sesungguhnya Allah amat kasih terhadap orang yang berbuat baik’
(Surah Al-Imran: 134)

Berdasarkan pengajaran dari ayat tadi Allah menyeru hamba-Nya melakukan kebaikan sesama manusia apabila mereka menjalin persahabatan dalam pergaulan seharian.

Di sini kita dapati antara akhlak yang diajar oleh Allah kepada rasul-Nya Muhammad s.a.w. ialah adab pergaulan, seperti lemah lembut, berhati mulia, sabar dalam menghadapi situasi yang tidak diingini, pemaaf, berdamai dan menahan marah. Sebagai dalilnya Allah berfirman:

‘Ambil olehmu wahai Muhammad jalan kemaafan dan suruh umatmu melakukan kebaikan dan berpaling olehmu dari orang-orang yang jahil.’

(Surah Al-A’raf: 199)

Ayat ini menegaskan bahawa kemaafan adalah lambang kemuliaan akhlak ketika hendak bekerjasama dengan orang lain. Andai terdapat sikap atau tingkah laku yang kurang menyenangkan, atau mempamerkan keperibadian yang kurang sopan dan akhlak yang rendah, kita hendaklah menjauhkan diri dan jangan melayani mereka. (Rujuk Al-Razi. 1990. hlm. 78. Juzuk 15). Sebab itu ketika turun ayat ini Rasulullah bertanya kepada Jibrail:

"Wahai Jibrail! Apa maksud ini?" Kata jibrail, "Wahai Muhammad! Sesungguhnya Tuhan kamu berfirman dengan maksud: Hendaklah kamu sambung silatulrahim dengan sesiapa yang memutus persahabatan denganmu, dan hendaklah kamu menghulur pemberian kepada sesiapa yang menegah pemberiannya pada kamu dan hendaklah kamu maafkan sesiapa yang menzalimi kamu".

Melalui ayat dan hadis ini Allah menyuruh hamba-Nya memaafkan kesalahan orang lain, menghormati orang yang tidak menghormati orang lain (dengan maksud sombong dan angkuh) dan merapatkan silatulrahirn yang telah terputus. Inilah gambaran sebaik-baik akhlak yang dituntut oleh Allah. (Rujuk Al-Wahidi Al-Nisaburi. 1316H. hlm. 171). Sebab itu Rasulullah bersabda:

‘Kekuatan itu bukanlah ketika menang dalam pertarungan, sesungguhnya kekuatan yang sebenar dapat menahan dari kemarahan.’
(Al-Bukhari)

Sebab itu para ularna dan ahli psikologi sependapat bahawa orang yang pemarah dan berani melakukan sesuatu di luar landasan akhlak itu ialah mereka yang termasuk dalam golongan bodoh dan tidak normal jiwa dan fikiran kerana mengikut nafsu dan perasaan semata mata, bukan mengutamakan pemikiran yang bijak. Tetapi orang yang berani sebenarnya ialah mereka yang dapat mengawal diri serta nafsu marahnya dengan penuh kesabaran serta dapat memaafkan segala kesilapan yang dilakukan oleh orang lain terhadapnya, sekali gus menggambarkan dialah orang yang cerdik dan bijak. Berdasarkan firman Allah:

‘Dan bagi sesiapa yang sabar dan sentiasa memberi keampunan yang demikian itu termasuk golongan yang melaksanakan setiap yang dituntut.’

(Surah Al-Syura: 43)

Dari keterangan ayat ini tidak hairanlah bahawa jiwa Rasulullah s.a.w. tidak pernah terguris atau marah. Sebab itu jiwanya diibaratkan sebagai lautan yang tidak akan keruh bila dicampak batu ke dalamnya. Dalam al-Quran Allah berfirman:

‘Dan balasan jahat itu ialah jahat seumpamanya maka sesiapa yang memberi kemaafan serta berdamai ganjarannya ke atas Allah yang membalasnya.’
(Surah Al-Syura: 40)

Melalui ayat ini dapat direnungi betapa agung akhlak Rasulullah seperti yang dijelaskan melalui gambaran kemuliaan peribadi junjungan kita Muhammad s.a.w.

Adalah jiwa Nabi s.a.w. bagaikan lautan bila dicampak batu kedalamnya tidak akan keruh dan tidak akan kering berkali kali ditimba airnya, tidak ada suatu perasaan hanya lemah lembut dan sabar, bagi orang orang yang sabar sahaia mengenali sifat ini. Sebagai cara ke arah penyelesaian, Nabi s.a.w. tidak melayani sebarang yang menyakiti melainkan kesabaran dan tidak pernah merasa rugi segala perbuatan orang orang jahil melainkan menolak secara lemah lembut, dan tidak berhasrat membuat penentangan melainkan sekiranya ada pencerobohan yang diharam oleh Allah maka dia menentang kerana Allah. ('Ali Said Farahali 1985. hlm. 89-91)

Dari gambaran hadis di atas jelas sikap Rasulullah s.a.w. sepanjang hayatnya sebagai seorang yang pemaaf, penyabar dan tidak pernah marah. Melalui sejarah kita dapat melihat betapa banyak perbuatan jahiliah yang menyakiti Rasulullah, namun beliau tetap sabar, tidak marah, malah memberi kemaafan terhadap segala keburukan yang dilakukan terhadapnya. Di samping itu baginda berdoa:

‘Ya Allah! Beri olehmu petunjuk pada kaumku ini sesungguhnya mereka tidak mengetahui.’

(Al-Bukhari)

SABAR DAN KEBAIKANNYA

Sabar merupakan satu ungkapan yang mudah disebut tetapi sukar dilaksanakan. Namun demikian sabar boleh dilatih dan diajar pada jiwa yang agresif, keluh kesah dan pemarah dengan mengingati Allah dan berzikir selalu. Firman Allah:

‘Sesungguhnya dengan mengingati Allah itu dapat menenangkan hati.’

(Surah Al-Ra'dhu: 28)

Dari hati yang tenang akan menjadikan seseorang itu sabar. Firman Allah:

‘Maka sabar olehmu bahawa kesabaran merupakan suatu yang indah.’
(Surah Al-Maarij: 5)

Pada ayat yang lain Allah berfirman:

‘Dan sekiranya kamu bersifat sabar itulah kebaikan bagi orang-orang yang bersabar.’
(Surah Al-Nahl: 126)

Sabar amat pahit dirasai tetapi hasilnya manis sekali. Itulah ungkapan yang sering didengar saban hari, namun manusia selalu kecundang di sebaliknya. Di sini kita perlu ingat sejarah perjuangan Rasulullah. Baginda telah membuktikan bahawa kejayaan baginda adalah berbekalkan kesabaran yang kuat sehingga golongan kafir Quraish menerima Islam kerana terpikat dengan kelembutan dan kesabaran baginda. Hal ini telah dibuktikan dalam sejarah pejuangan baginda dan kisah-kisah yang menjadi contoh kepada kita. Salah satu dari kisah tersebut adalah seperti berikut:

Sebelum memeluk agama Islam Zaid bin Salanah telah datang menagih hutang kepada Rasulullah secara kasar iaitu dengan memegang bahu dan menarik baju Rasulullah serta meluahkan kata kata, "Kamu bani Abdul Mutalib yang sukar membayar hutang", lantas Zaid diherdik oleh Saidina Umar dengan mengeluarkan kata-kata yang kasar. Rasulullah tersenyum kemudian berkata, "Antara aku dan Zaid bukanlah cara begini kau lakukan wahai 'Umar. Sepatutnya kamu menyuruh aku supaya menjelaskan hutang dengan baik, dan kamu menasihati Zaid supaya menerima penjelasan hutangnya dengan baik", kemudian Rasulullah menjelaskan keadaan sebenar dengan katanya, "Sesungguhnya baki dari hutang itu tiga cupak lagi", lalu Rasulullah menyuruh Umar membayar dan diganda selain dari hutang itu dua puluh cupak lagi.

Peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam dijiwa Zaid serta menjadi impian untuk mendekati Rasulullah. Akhirnya impian itu menjadi satu dorongan yang membawa Zaid menerima Islam. Setelah berada dalam agama Islam, beliau menjelaskan bahawa kesabaran dan kelembutan Rasulullah itulah yang memadamkan segala api kemarahan yang akhirnya membawanya untuk bersama Rasulullah. (Rujuk Abdul Hakim Al-Sayid 'Autlah. 1984. hlm. 60)

Dari kisah di atas didapati sikap yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. itu adalah lambang kernaafan, lemah lembut, serta bejiwa damai. Seterusnya sikap tersebut menberi kesan yang besar dalam perkembangan dakwah Islam. Bagi kita sebagai umat Islam sifat tersebut adalah sebaik baik contoh untuk diteladani dan diikuti kearah pengukuhan ummah.

BILAKAH MARAH ITU DIBOLEHKAN

Marah dibolehkan apabila terjadi sesuatu yang perlu ditentang dan dilawan, seperti pencerobohan terhadap jiwa, nyawa, harta dan pencabulan maruah atau kehormatan. Bagi melindungi harga diri daripada dicemari, kita perlu melawan dan menentang habis-habisan, sama ada pada diri sendiri atau keluarga ataupun orang lain yang tidak kena mengena dengan kita. Perkara ini memang perlu diberi pertolongan untuk menyelamatkannya. Begitu juga pencerobohan terhadap agama seperti tempat ibadat dipermain-mainkan dan dicemari oleh seteru dan juga terhadap saudara seagama dengan kita dianiaya atau diseksa ketika ini perlu dimarahi dan ditentang kerana Allah. Tindakannya adalah pada hati dan jiwa yang berlandaskan akal yang waras. Perbuatan penentangan yang dilaksanakan perlu berdasarkan syariat, supaya tidak keterlaluan atau melampaui batas. (Rujuk Al-Manawir. 1972. hlm. 355. Juzuk 5) Sabda Rasulullah:

‘Bukanlah kekuatan itu ketika menang dalam pertarungan, sesungguhnya kekuatan yang sebenar dapat mengawal dari tindakan marah yang melampaui batas.’
(Al-Bukhari)

BALASAN ORANG YANG MENAHAN KEMARAHAN

Sesungguhnya menahan diri dari marah adalah sifat muttakin dan balasannya di sisi Allah adalah balasan orang-orang yang bertakwa. Dan Allah memberi jaminan kepada orang yang berjaya menahan kemarahan ini dengan memberi keutamaan di hari akhirat untuk memikh syurga yang ia mahu, berdasarkan dalil hadis:

‘Sesiapa yang dapat menahan dari kemarahan dan ia berjaya menghilangkannya di hari kiamat kelak Allah memberi keutamaan dari sekalian makhluk sehingga ia memilih mana-mana pintu syurga yang ia mahu.’
(Al-Bukhari)

Dari pengajaran hadis ini sama samalah kita bersabar dan memberi kemaafan kepada orang lain kerana kemaafan itu lebih tinggi martabatnya dari menahan kemarahan. Namun demikian orang yang berjaya menahan diri dari marah ini sudah tentu ada padanya sifat pernaaf dan ihsan pada orang lain. Jiwa orang yang berjaya menahan marah juga sunyi dari sifat dendam, iri hati, dengki dan talam dua muka. Sifat-sifat buruk inilah yang menyebabkan seseorang itu tidak berjaya di akhirat, walaupun semasa hayatnya merupakan orang yang soleh dan taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Maka dengan ini sama samalah kita berdoa agar dijauhi sifat-sifat sedemikian, dengan doanya:

‘Ya Allah! Jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang dapat menahan kemarahan mereka, dan jadikanlah kami orang orang yang suka memberi kemaafan dan perdamaian. Kategorikanlah kami bersama orang orang yang beramal dengan mengikut apa yang diperintah oleh Allah, mengikuti penghulu segala nabi-nabi dan rasul-rasul iaitulah penghulu kami Muhammad Salailah 'Alaihiwassalam. Ya Allah! terimakanlah doa kami.’

Demikianlah kriteria seorang muslim ke arah pergaulan menurut Al-Quran dan Al-Sunnah maka segalanya akan berjaya sekiranya setiap muslim itu beramal dengan sabar.

Sekian, wassalam.

No comments:

Post a Comment